Ingatan dari Ipoh, Malaysia, buat Ade Paloh
Dalam submisi Open Column ini, Seniman dari Negeri Jiran, Mohd Jayzuan mengenang berbagai keterpanaannya akan sosok Ade Paloh dalam perjumpaan juga percakapan mereka.
Words by Whiteboard Journal
Catatan Editor: Column ini ditulis dalam bahasa serta ejaan Melayu. Penyuntingan dilakukan seminimal mungkin agar tidak mengubah orisinalitas dan makna pesan yang ingin disampaikan penulis.
Hubungan antara scene muzik indie Ipoh dan Jakarta bermula sejak awal noughties lagi. Di masa band-band Ipoh sedang mahu memuncak, dan mereka di Jakarta juga sedang meroket naik. Kita sedar, Ipoh dan Jakarta sedang sama-sama membentuk satu scene yang mantap ketika itu.
Saya pertama kali ke Jakarta di sekitar waktu yang sama, di situlah pertama kali saya bertemu dengan teman-teman Goodnight Electric, White Shoes & the Couples Company, Seringai, The Adams, The Upstairs, Nasta Sutardjo, David Tarigan, ruangrupa dan ramai lagi, ini belum termasuk teman-teman band di Bandung, Yogyakarta dan daerah lain.
Malah, saya sempat berpanggung dan menghadiri acara parti di PARC yang legenda itu beberapa kali. Khalayak indie Indonesia atau Jakarta khususnya, pasti tahu betapa pentingnya peranan PARC kepada scene di zaman itu.
Masa sama jugalah saya tahu tentang Sore yang lain-macam dan menginspirasikan.
Sebelum mengenali Ade secara peribadi, kompilasi ‘JKT: SKRG’ (2004) terbitan Aksara Records telah lebih dulu sampai di Ipoh. Jadi, saya mendengar Sore dan band-band Jakarta ini semua sebelum berkenalan. Masih saya ingat bagaimana Sore adalah band paling berbeza dalam kompilasi tersebut, di antara kugiran-kugiran lain yang menurut saya lebih ‘scene’. Ternyata pop bikinan Sore itulah, banyak-banyak tahun kemudiannya, telah membantu berikan hadiah yang besar terhadap muzik Indonesia.
Saya menyebut ‘muzik Indonesia’ dan bukan ‘muzik indie Indonesia’ kerana menurut saya, Sore sudah menglampaui itu. Mereka bukan hanya lagi milik anak-anak indie. Malah Sore bukan lagi hanya milik Indonesia. Ramai juga warga Malaysia yang mencintai Sore, dalam masa sama bermakna menyintai Ade Paloh bersama suara resah mendesahnya dan muzik air tangan Mondo, Awan, Bemby dan Reza; anak-anak pop yang seksi dan romantis ini.
Keakbaban bersama Ade menjadi lebih terpateri setelah dia ke Kuala Lumpur untuk berpanggung bersama Sore bagi promosi filem ‘Berbagi Suami’.
Acaranya diadakan di Little Havana, Bukit Bintang, yang kalau tak salah saya diuruskan oleh seorang teman, Aidil Rusli daripada band power pop, Couple. Dan malam itu juga, Hujan turut berpanggung, mungkin antara show-show terawal mereka. Hujan adalah band Noh Salleh penyanyi yang popular di Indonesia dengan lagu ‘Angin Kencang’.
Sejak daripada itu, setiap kali jika ke Jakarta dan apabila tak sengaja bertemu Ade, kami pasti akan meluangkan masa berbual dan nongkrong—kata jalanan Indonesia buat melepak (hanging out). Ade seorang yang cerdas, humor dan dalam.
Pernah satu malam di depan Kios Ojo Keos, distro milik Efek Rumah Kaca, saya dan Ade berbual tentang hal-hal spiritual. Ketika ini saya sudah berpindah dan menetap secara terus di Jakarta Selatan, di sebuah artist village milik ruangrupa dan kawan-kawan, di Gudskul, Jagakarsa.
Saya melihat dia persis seperti saya, kami mencari jalan menuju rohani. Kami sama-sama datang dari latar scene muzik yang deras, labang dan bingit, dalam kebingitan itu kami mencari damai, ingin meneroka jalan cahaya.
Kali akhir saya berbual dan berhubung dengan Ade, semasa Coronnoying masih annoying.
Masih saya ingat kami berbual tentang orennya remang senja Jakarta, tentang melankolia Jakarta di saat menuju gelap malam, tentang romantisnya debu dan habuk-habuk Jakarta, mengenai pandangannya pada hidup dan hal-hal yang menyesakkan dada lalu turut dia berkongsi tentang hidup di zaman kuliahnya di Los Angeles dan tentang kecintaannya terhadap kota itu.
Selalunya, jika orang bertanya pada saya bagaimana mahu menggambarkan Jakarta? Hanya ada dua jawapan yang saya akan berikan, dengarlah Sore dan White Shoes and the Couples Company. Muzik dua band ini cukup padat dan pekat mewakili suasana Jakarta. Suara Ade dan Sari adalah riuh Jakarta.
Ada satu malam, saya ke Vakansi Studio, miliknya anak-anak White Shoes. Lalu saya diperdengarkan kepada sebuah lagu, demo kalau tak salah, yang dibikin oleh sang bassist Ricky Virgana. Projek itu disenandungkan oleh Ade. Saya kejang terkesima di situ. Saya memandang Ricky, terpukau, itu satu gubahan muzik yang cukup indah. Sampai saya tak tahu bagaimana hendak diucapkan dengan kata-kata. Seni, biasanya, apabila sudah sampai peringkat tertinggi, kita sudah tak mampu punya kata, kerana yang akan terkesan adalah rasa.
Ade macam biasa, seperti selalu-selalu, hanya perlu datang dengan suaranya yang menikam itu dan buatkan kita semua kaku. Ada sesuatu tentang suaranya yang saya fikir bagaikan sihir.
Ramai orang boleh bernyanyi top notch perfect, tapi tak ramai beremosi dengan penuh ikhlas. Ade penuh dengan itu, macam Jeff Mangum, macam Daniel Johnston, macam Syd Barrett.
Emosi Ade, perasaannya, lirik-liriknya, lagu-lagunya, lenggok nada suaranya adalah semuanya yang Jakarta.
Sangat saya yakin, trip seterusnya saya ke Jakarta nanti, saat saya menjejak tanahnya, pasti separuh daripada jiwa kota itu turut padam mengikut hilangnya anak genius Batavia itu.
Menurut laporan, Ade dikatakan meninggal kerana sakit di perut. Melalui perspektif Islam yang mulia, seseorang yang wafat kerana sakit daripada perut, adalah satu kematian yang baik, yang khusnul khotimah. Perginya pula dalam bulan Ramadhan.
Tidur nyenyak Firza Achmar Paloh, peluklah cahaya yang telah lama kamu cari itu dengan erat.
Al-Fatihah, saudaraku.